KUALA LUMPUR – Tempoh pelaksanaan Bulan Pemutihan dilanjutkan sehingga 31 Mei ini dengan tawaran pengurangan denda sehingga 50 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, lanjutan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan daripada para majikan serta peningkatan ketara dalam jumlah pendaftaran dan caruman sejak Bulan Pemutihan dilaksanakan.
“Sejak pelancaran Bulan Pemutihan, terdapat peningkatan sebanyak 40 peratus dalam pendaftaran majikan berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar khas di Menara Perkeso, di sini hari ini.
Menurutnya, 8,234 majikan dan 61,746 pekerja baharu telah didaftarkan dalam tempoh ini, termasuk 46,094 pekerja tempatan dan 15,652 pekerja asing.
“Sebanyak 913 notis FCLB dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 melibatkan 433 majikan baharu dengan nilai berjumlah RM226,980 turut dikecualikan sepenuhnya daripada kompaun dan tindakan undang-undang,” katanya.
Steven turut mengumumkan pengurangan sehingga 50 peratus bagi kompaun FCLB terhadap 215,172 majikan yang terlibat dengan tunggakan caruman melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM100 juta.
“Sebanyak 198 majikan masih mempunyai tunggakan bayaran kompaun di bawah kedua-dua akta dengan jumlah bernilai RM990,000,” ujarnya.
Katanya, kegagalan majikan menyelesaikan FCLB dan Notis Kompaun dalam tempoh tawaran itu akan mengakibatkan tindakan pendakwaan diambil selepas tempoh tawaran pembayaran khas ini berakhir.
Beliau turut memberi amaran bahawa majikan yang gagal menyelesaikan FCLB selepas 31 Mei ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Majikan yang gagal boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000. Jika didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Pelanjutan tempoh Bulan Pemutihan turut mengambil kira perayaan Aidilfitri dan Hari Pekerja yang baru berlalu sebagai peluang kedua kepada majikan untuk tampil mendaftar secara sukarela. – KOSMO! ONLINE