MELAKA – Datuk kepada bayi lelaki berusia dua bulan yang disyaki didera ibu bapanya sukar menerima hakikat cucunya menjadi mangsa perbuatan anak kandungnya sendiri.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin selepas melawat mangsa di Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Melaka petang tadi.
Menurutnya, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu meluahkan rasa tidak percaya ketika ditemuinya di luar wad selepas selesai menziarahi cucunya.
“Dia sangat terkejut dan menyatakan tidak mungkin anaknya sanggup melakukan perbuatan sedemikian terhadap cucunya sendiri.
“Saya hanya mendengar tanpa memberi ulasan kerana kes masih dalam siasatan pihak polis dan saya tidak mahu mengganggu proses undang-undang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Kalsom, beliau menghabiskan masa hampir 30 minit meninjau keadaan bayi berkenaan yang kini dilaporkan stabil.
“Ketika saya sampai kira-kira pukul 3 petang, bayi itu sedang tidur tetapi doktor maklumkan bayi ini aktif dan kuat menyusu meskipun mengalami sedikit pendarahan dalam kepala.
“Peluang untuk sembuh sangat cerah dan ketika saya lihat pun, hanya satu wayar yang masih disambung di kepalanya,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu kononnya bayi berkenaan telah meninggal dunia, sebaliknya terus mendoakan kesihatan dan pemulihan mangsa.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati datuk dan nenek mangsa telah pulang ke kediaman mereka di Beranang, Selangor bagi mengambil pakaian dan dijangka kembali ke Hospital Melaka malam ini.
Difahamkan, mereka akan menetap di rumah transit berdekatan hospital bagi memudahkan penjagaan cucu mereka di PICU.
Pada Rabu lalu, pasangan ibu bapa bayi berkenaan masing-masing berusia 22 tahun direman selama tujuh hari sehingga 13 Mei ini selepas dipercayai mendera anak sendiri.
Kejadian terbongkar selepas si ibu membawa bayi terbabit ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum mendakwa anaknya diserang sawan.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami lebam, luka di leher dan badan serta pendarahan lama dan baharu dalam kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -KOSMO! ONLINE.