Tiada bukti Pamela rancang culik diri sendiri – Peguam

9 hours ago 4

PETALING JAYA – Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kemungkinan kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh dirancang oleh dirinya sendiri adalah tidak wajar.

Peguam Pamela, Datuk Sivananthan berkata, perkara itu perlu disahkan melalui bukti baharu serta penahanan suspek yang terlibat.

“Kalau tak tangkap mana-mana suspek, kenapa nak siasat bahawa ia dirancang sedangkan semua bukti menunjukkan dia diculik.

“Melainkan suspek itu sendiri yang beritahu perkara itu dirancang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis tidak menolak kemungkinan bahawa kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh mungkin dirancang mangsa sendiri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, elemen itu antara yang disiasat pihaknya ketika ini.

Menurutnya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), insiden penculikan tersebut dilihat berlaku dengan lancar tanpa sebarang pergelutan dengan mangsa memberi kerjasama kepada suspek.

Bagaimanapun, Sivananthan berkata, ketika ini, usaha mengesan keberadaan Pamela adalah lebih penting bagi memastikan keselamatan beliau.

“Jangan sebab itu, usaha mengesan Pamela tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Kalau betul ada bukti yang kukuh, tunjukkan secara telus. Pada saya, satu-satunya cara untuk mengesahkan perkara itu adalah melalui soal siasat suspek,” ujarnya.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memberikan keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada 9 April lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan kini menjurus kepada penglibatan suami wanita itu termasuk beberapa individu lain sebagai suspek.

Setakat ini, seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami Pamela. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |