KUALA LUMPUR – Seramai 85 mangsa pemerdagangan manusia termasuk kanak-kanak diselamatkan menerusi Op Pintas Mega dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara, semalam.
Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut bertindak menahan 175 individu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi ini dijalankan secara serentak oleh 14 kontinjen bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain.
Beliau berkata, fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam sektor perkhidmatan, perladangan, eksploitasi buruk kanak-kanak serta sindiket pengemis.
Jelasnya, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 36 serbuan dilakukan di seluruh negara.
“Hasil daripada operasi tersebut, seramai 175 warga tempatan dan warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Filipna, Myanmar, Nepal dan China ditahan.
“Dalam operasi yang sama, 85 mangsa juga diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Shuhaily berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 58 lelaki, 10 wanita dan 17 kanak-kanak.
“Kesemua mangsa terdiri daripada warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.
“Kebanyakan mangsa diselamatkan disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh paksa,” ujarnya.
Mohd. Shuhaily berkata, siasatan dijalankan di bawah Sekayen 12 & 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Per. 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, pihaknya memandang serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu serta kumpulan jenayah yang melakukan jenayah ini. – KOSMO! ONLINE