MELAKA – Maklumat tular kononnya bayi lelaki berusia dua bulan yang sebelum ini dilaporkan kritikal dipercayai didera ibu dan bapanya pada Isnin lalu telah meninggal dunia adalah tidak benar.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dalam satu sidang akhbar diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tidak menolak kemungkinan akan dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) ke wad biasa dalam masa terdekat sekiranya bayi tersebut terus menunjukkan perkembangan positif.
“Katanya tular pagi ini bayi tersebut telah meninggal dunia dan ini adalah tidak betul, palsu.
“Kita menasihatkan kepada orang ramai supaya mengambil sifat tanggungjawab untuk tidak menyebarkan perkara-perkara sebegini kerana bayi tu dalam keadaan sihat dan sedar, malah sudah boleh minum susu (menerusi tiub),” katanya.
Mengulas lanjut perkembangan kes, beliau berkata, kertas siasatan telah hampir lengkap dan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
“Bagaimanapun kita masih mendapatkan akaman percakapan kedua-dua suspek bagi mengetahui motif dan punca kejadian sama ada kejadin ini berlaku disebabkan stres atau ada masalah kewangan dan sebagainya, macam-macam kemungkinan boleh timbul.
“Mereka ditahan selepas pihak hospital membuat laporan mengesyaki bayi lelaki itu telah didera dengan kesan calar di leher, lebam di dada dan pendarahan lama dan baru di kepala,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki akibat didera ibu dan bapa kandungnya di Taman Seri Pelangi, Sungai Petai, Alor Gajah, Isnin lalu.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang juga suspek berusia 22 tahun.
Suspek terbabit turut mendakwa bayinya diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa di hospital sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.
Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan dilakukan mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher. – KOSMO! ONLINE