GWM sasar jualan 60,000 unit setahun menjelang 2028

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – GWM Malaysia merangka langkah strategik untuk tahun 2026 hingga 2028 dengan memfokuskan kepada pembangunan teknologi dan pengenalan model baharu bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri automotif negara.

Dalam wawasannya menuju 2028, GWM Malaysia menyasarkan enam peratus pegangan pasaran, 60,000 jualan tahunan, dan berusaha untuk tersenarai dalam kedudukan 10 teratas untuk jenama automotif di Malaysia, termasuk tiga teratas bagi jenama dari China.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, ini disokong oleh strategi berasaskan teknologi yang merentasi persaingan jangka pendek dan harga, selain pelaburan secara berterusan terhadap produk, infrastruktur dan tenaga kerja.

“Di GWM Malaysia, perkara yang sentiasa menjadi fokus kami adalah untuk membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di dalam pasaran.

“Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan dan produk kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang.

“Kesemua ini dipacu oleh rangkaian pasaran yang semakin berkembang di seluruh negara. Pendekatan berteraskan disiplin ini memberi asas yang kukuh terhadap pertumbuhan yang mampan di samping mengekalkan kepercayaan pelanggan,” katanya pada Majlis Pernghargaan GWM Bersama Media di sini.

Roslan berkata, sepanjang tahun 2025, GWM Malaysia mencatatkan hampir 5,900 unit jualan, meningkat 177 peratus berbanding tahun sebelumnya yang membuktikan keyakinan pengguna terhadap produk, kecekapan rangkaian pengedar serta sistem perkhidmatan selepas jualan yang semakin mantap.

“Dari segi produk, beberapa model baharu dijangka diperkenalkan termasuk Tank 300 HEV, model kenderaan utiliti sukan (SUV), segmen B, SUV segmen C dan SUV mewah segmen C,” katanya.

Selain itu, Roslan memberitahu syarikat menyasarkan untuk mengukuhkan 60 cawangan di seluruh negara dengan memperkenalkan piawaian identiti korporat bermula tahun ini bagi memastikan pengalaman jualan lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaian.

“GWM Malaysia juga kekal komited terhadap pemasangan tempatan (CKD) dan bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab pertumbuhan serta pusat eksport utama di rantau Asean,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |