FILEM sulung terbitan anak kepada penerbit terkenal Datuk David Teo, Jason Teo mengambil pendekatan berani apabila membariskan wajah-wajah baharu menerusi naskhah seram berjudul, Citra Apartment.
Meskipun menampilkan pelakon baharu, Jason berkata, mereka bukan terlalu ‘hijau’ dalam industri sebaliknya hanya jarang mendapat pendedahan meluas.
“Saya ambil langkah berani ini kerana fokus utama yang kita nak jual adalah cerita. Kalau ceritanya bagus, orang akan terima.
“Kita cuba angkat bakat-bakat sedia ada dalam industri yang masih belum dikenali ramai. Kita mahu beri peluang dan naikkan lagi nama mereka,” katanya selepas majlis tayangan gala filem tersebut di Petaling Jaya baru-baru ini.
Berkongsi mengenai kos pembikinan, Jason berkata, Citra Apartment dihasilkan dengan bajet keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.
Berharap filemnya meraih sambutan baik, Jason meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM4 juta.
“Memang sukar ramal sambutan penonton kerana setakat ini hanya dua filem yang benar-benar pecah panggung iaitu Blood Brothers dan Ejen Ali The Movie 2.
“Walaupun keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, saya percaya industri filem tidak begitu terjejas.
“Kalau keadaannya baik, maka orang pasti akan sokong. Saya percaya pada kekuatan jalan cerita dan konsep berbeza yang diketengahkan dalam filem ini,” ujarnya.
Jason memberitahu, dia turut terlibat dalam proses penulisan bersama pengarah dan penulis filem berkenaan.
“Boleh dikatakan kami melalui fasa ‘development hell’ kerana genre cerita ini belum pernah ada di Malaysia.
“Skrip filem ini telah ditulis semula lebih 20 kali untuk mendapatkan hasil terbaik. Syukur pengarah dan penulis skrip filem ini memang hebat, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.
Katanya, penggambaran yang dilakukan dua tahun lalu turut mengambil tempoh masa panjang berikutan penggunaan teknik janaan komputer (CGI) yang dianggap mencabar.
“Apabila draf CGI pertama siap, hasilnya masih belum memuaskan hati dan perlu dilakukan berulang kali.
“Proses itu memang makan masa kerana kami mahu hasil yang benar-benar berkualiti,” jelasnya lagi.
Mengulas tentang persiapan menjelang tayangan umum, Jason sentiasa mengingatkan diri untuk kekal tenang dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Bercakap tentang cabaran, saya tak berani nak cakap sama ada sudah bersedia atau tidak.
“Paling penting, kita kena sentiasa bermuhasabah dan refleksi diri. Saya doakan saya bersedia,” katanya.
Bahasa Melayu
Menurut salah seorang bintang utama, Ooi Liang Chia, dia berbesar hati apabila diberikan peluang menerajui filem Melayu sekali gus membuka jalan untuk namanya lebih dikenali ramai.
Meski berbangsa Cina, dia bahkan tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip dan berdialog dengan lancar dalam bahasa Melayu.
“Sejak kecil saya memang berkawan dengan orang Melayu dan sebab itu tiada masalah untuk bertutur dalam bahasa Kebangsaan.
“Walaupun Mandarin merupakan bahasa pertama saya, saya lebih cenderung memilih skrip dalam Bahasa Melayu.
“Filem ini juga peluang untuk lebih ramai lihat bakat saya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ooi berharap naskhah tersebut akan diberikan peluang oleh pencinta filem tempatan selain mampu mencatat kutipan yang memberangsangkan.
Selain Ooi dan Elisya, naskhah arahan Amor Rizan yang mula ditayangkan pada 3 Julai lalu turut menampilkan beberapa pelakon baharu lain seperti Razdan Shamsudin dan Hanna Halim.
Citra Apartment mengisahkan sekumpulan pelajar kolej yang mengalami kejadian pelik ketika menjalankan sesi fotografi di sebuah apartmen usang yang telah lama ditinggalkan.