KUALA LUMPUR – Institusi koperasi adalah instrumen penting dalam membantu anggotanya meningkatkan taraf hidup termasuklah sebagai ejen pengupayaan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan institusi kewangan ini amat penting khususnya dalam membantu golongan B40, usahawan mikro dan komuniti setempat.
Jelasnya, saban tahun gerkaan koperasi membantu rakyat dalam mendapatkan kemudahan kewangan menerusi pembiayaan dan perkhidmatan perbankan.
“Seperti mana yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia berdasarkan data perangkaan sehingga Disember 2024, lebih 16,000 koperasi telah diperbadankan dengan keanggotaan koperasi mencecah lebih 7.2 juta ahli.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam kalangan anggota koperasi, tetapi juga kebijaksanaan pengurusan koperasi dalam merancang dan melaksanakan strategi perniagaan yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick dalam Majlis Perasmian Wisma Co-opbank Pertama di sini hari ini.
Tambah Anwar, pihak kerajaan juga akan terus memberi sokongan dan memperkukuhkan sektor koperasi sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi rakyat.
Sementara itu, Anwar turut mengucapkan tahniah atas prestasi perniagaan CBP yang memberangsangkan apabila mencatatkan keuntungan yang tertinggi sepanjang penubuhannya.
Menurutnya, CBP berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM124.29 juta dengan aset keseluruhan sebanyak RM12.84 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, buat pertama kalinya.
“Saya yakin dengan perasmian Wisma CBP pada hari ini dapat dijadikan sebagai platform terbaik bagi Kuskop khususnya bersama agensi-agensi di bawah seliannya mengetengahkan serta mengiktiraf kejayaan koperasi di peringkat nasional.
“Seterusnya menggalakkan penyertaan masyarakat umum dalam sektor koperasi serta menggiatkan inisiatif penglibatan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE