PETALING JAYA – Malaysia terus membuktikan kedudukannya sebagai antara kuasa ekonomi utama di Asia Tenggara apabila beberapa wilayah tempatan berjaya mendominasi kelompok teratas gaji purata bulanan tertinggi ASEAN bagi tahun 2025.
Berdasarkan data yang dikongsikan, Kuala Lumpur muncul sebagai wilayah kedua tertinggi di ASEAN dengan purata gaji bulanan mencecah AS$1,321, di belakang Singapura.
Kedudukan itu sekali gus meletakkan ibu negara sebagai pusat ekonomi paling bernilai di Malaysia, mengatasi banyak bandar besar lain di rantau ini.
Prestasi cemerlang itu disokong Putrajaya yang berada di kedudukan ketiga ASEAN dengan purata gaji AS$1,260, manakala Selangor pula menghuni tangga keempat dengan USD1,085.
Labuan tidak ketinggalan apabila tersenarai di kedudukan kelima dengan purata gaji AS$1,040, sekali gus mengukuhkan dominasi Malaysia dalam kelompok teratas.
Pulau Pinang turut mencuri tumpuan apabila berada di kedudukan keenam ASEAN dengan purata gaji AS$965, diikuti Johor di tempat ketujuh dengan AS$915, mengatasi beberapa wilayah utama di Thailand dan Filipina yang selama ini dikenali sebagai hab ekonomi serantau.
Walaupun angka ini dilihat membanggakan, realiti kehidupan harian rakyat di bandar utama masih menjadi perbincangan hangat.
Ramai berpendapat peningkatan gaji tidak seiring dengan kos sara hidup yang semakin menekan, khususnya melibatkan harga rumah, sewa, makanan dan pengangkutan.
Di media sosial, rata-rata netizen menyuarakan rasa bercampur baur antara bangga dan skeptikal terhadap statistik tersebut.
Ada yang menyifatkan angka gaji purata itu tidak mencerminkan situasi sebenar pekerja bawahan, manakala sebahagian lagi menganggap jurang pendapatan masih terlalu besar untuk diraikan.
Pemerhati ekonomi pula berpandangan pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk kerajaan memberi tumpuan kepada dasar gaji mampan dan kawalan kos sara hidup agar kemakmuran ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh, bukan sekadar tercatat dalam laporan statistik.
Data berkenaan diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia serta beberapa agensi statistik rasmi negara ASEAN.- KOSMO! ONLINE.

1 day ago
6


![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)









































