‘Fitnah berat tuduh saya tidak berbuat apa-apa kes Zara Qairina’

10 hours ago 5

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya bahawa beliau tidak berbuat apa-apa berhubung kes kematian Zara Qairina yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustafa Limauan, Sabah, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau telah menziarahi keluarga di hospital di Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu dengan memastikan semua keperluan keluarga dipenuhi.

Pada masa sama, tegasnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga diarah untuk menyalurkan bantuan segera.

“Pada 18 Julai lalu, saya keluarkan kenyataan berkenaan kejadian ini dan menyatakan komitmen Kementerian untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.

“Saya teliti laporan harian dan memantau secara dekat kes ini serta memastikan JPN Sabah memberi bantuan terbaik kepada keluarga. Kes ini adalah tumpuan utama kami di Kementerian pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, beberapa siri ziarah cakna dilakukan JPN Sabah ke atas keluarga mangsa, di samping intervensi krisis dan trauma turut dilaksanakan untuk murid, guru dan warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan terpelihara.

Jelasnya, memahami kegusaran keluarga dan masyarakat, beliau mengeluarkan satu lagi kenyataan susulan pada 25 Julai lalu.

“Saya nyatakan pendirian tegas Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan pihak polis.

“Saya meletakkan seluruh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti,” katanya.

Dalam hal ini, beliau memohon semua pihak untuk menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan apabila kebenaran sampai ke puncak, keadilan pasti akan tertegak.

“Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain. Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih.

“Sedar atau tidak, berkongsi maklumat tidak sahih boleh menyebabkan murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah turut terkesan.

“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penularan berita tidak sahih dan fitnah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan,” katanya.

Kes kematian Zara Qairina mendapat perhatian masyarakat dan tular di media sosial yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |