MANCHESTER – Manchester United terus menunjukkan prestasi buruk dalam urusan pembelian dan penjualan pemain apabila dilapor mencatat kerugian sehingga £273 juta (RM1.56 bilion) dalam tempoh 10 tahun terakhir.
United dianggap tidak bijak dalam urusan tersebut kerana sering menanggung rugi, sama seperti ketika melepaskan Anthony Elanga dengan nilai £15 juta (RM85.74 juta) kepada Nottingham Forest yang kemudiannya menjual kepada Newcastle United pada harga £55 juta (RM314.38 juta).
Ketika musim baharu berbaki 35 hari lagi sebelum bermula, United masih gagal untuk melepaskan pemain-pemain yang tidak berada dalam perancangan pengurus, Ruben Amorim.
Situasi itu jelas menjadi cabaran buat United kerana mereka tidak dapat menjana pendapatan yang boleh digunakan bagi mendapatkan khidmat pemain-pemain yang sesuai dengan taktikal diterapkan.
Lima pemain seperti Antony, Alejandro Garnacho, Tyrell Malacia, Marcus Rashford dan Jadon Sancho sudah dilabelkan tidak diperlukan untuk saingan musim depan, namun United gagal mencari pembeli.
Selain masalah prestasi para pemain berkenaan, punca utama kegagalan United mendapatkan pembeli adalah ekoran nilai gaji diberikan terlalu tinggi ketika di Old Trafford menyebabkan banyak kelab yang tidak sanggup.
Sekiranya keadaan itu berterusan, United mungkin terpaksa menurunkan harga yang dipinta bagi menarik minat pasukan lain dan terpaksa menanggung kerugian kerana menjual pemain di bawah harga pasaran.
Justeru, United dijangka akan terus menjual pemain di bawah harga pasaran pada jendela perpindahan kali ini kerana masih bergelut untuk mencari pasukan-pasukan yang berminat dengan khidmat lima pemain itu.
Sebagai rekod, Chelsea merupakan pasukan yang paling cemerlang dalam urusan jual beli pemain apabila sentiasa meraih keuntungan ketika menjual pemain kepada pasukan lain. – AGENSI