Enam lelaki kurung lelaki Palestin secara rahsia dan salah dijel lima tahun

13 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Enam lelaki yang berdepan dengan pertuduhan culik seorang lelaki warga Palestin, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana melarikan dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah chalet tiga tahun lalu.

Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, selepas kesemuanya mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang didakwa ke atas mereka.

Mahkamah memerintahkan Mohamad Norakmal, Mohamad Sufian dan Muhammad Al Hatim menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 29 Septemner 2022, manakala Tengku Hazarul Ismail dan Mohd Azwan masing-masing pada 11 Oktober 2022 dan 14 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa bersama-sama melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi di sini pukul 10.40 malam pada 28 September 2022.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badius Zaman Ahmad memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun dengan mengambil kira kesalahan dilakukan telah memberikan kesan buruk kepada negara.

“Sebelum ini, kesemua tertuduh didakwa atas pertuduhan menculik, namun representasi mereka telah diterima. Mereka seharusnya bersyukur kerana pertuduhan pilihan telah ditawarkan kepada mereka. Tertuduh-tertuduh telah direman selama dua hingga tiga tahun. Oleh itu, pohon hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Mohd Sabri Othman.

Peguam Norma Goh Kim Lian yang mewakili Mohamad Norakmal, Mohd Azwan, Dody, Mohamad Sufian dan Tengku Hazarul memohon hukuman penjara minima atas alasan anak guamnya telah insaf selain mempunyai tanggungan keluarga.

Sementara peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Muhammad Al Hatim turut memohon hukuman penjara minima kerana anak guamnya telah menyesal dan memohon maaf selain dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Dalam pada itu, bagi lapan lagi tertuduh iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44; Mohamad Naziree Mustapha, 44; Faizull Hardey Mohd Isa, 45; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30; Mohd Zaidi Mohd Zain, 59; Nidarahayu Zainal, 39; Raibafie Amdan, 44; dan Edy Ko’im Said, 45, diteruskan dengan perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa berusia 31 tahun itu untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 September 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |