Elak sertai program eHati hingga siasatan selesai – Mufti

7 hours ago 5

SEREMBAN – Umat Islam khususnya kaum wanita dinasihat untuk tidak terlibat dengan program eHati atau seumpama itu sehingga jelas kedudukan sebenar program berkenaan selepas siasatan selesai.

Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, sewajarnya wanita perlu mengamalkan sikap berhati-hati ketika mencari jalan penyelesaian bagi masalah peribadi dan tekanan emosi agar tidak terjebak dengan kegiatan yang bertentangan dengan ajaran agama.

Menurutnya, antara kaedah yang dianjurkan oleh Islam ialah solat, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

“Program seperti eHati ini adalah bermanfaat sekiranya ia dilaksanakan mengikut lunas-lunas ajaran yang ditunjukkan oleh Islam. Sebaliknya, jika ia dilaksanakan mengikut nafsu dan akal tanpa berpandukan ajaran Islam akan mengundang masalah sampingan yang bersifat negatif.

“Isu eHati yang tular kerana memasukkan beberapa aktiviti negatif dan tidak sesuai dengan budaya tempatan, jika benar seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru baru ini, adalah contoh program yang amat bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ujar Faudzinaim lagi, secara umum, program eHati yang telah dijalankan di Malaysia bertujuan untuk menyediakan sebuah platform yang menyatukan kaum wanita yang menghadapi masalah tekanan emosi akibat terkesan daripada masalah peribadi atau keluarga.

“Dilihat daripada tujuan itu, program eHati memberi manfaat kepada golongan wanita yang menghadapi masalah tekanan perasaan atau kurang keyakinan diri.

“Perkongsian sesama kaum wanita ini boleh mengurangkan tekanan kepada golongan wanita yang menghadapi masalah apabila ruang perbincangan dan perkongsian yang berkualiti dapat diwujudkan sesama mereka,” katanya.

Namun menurut beliau, jika memasukkan elemen bertentangan dengan ajaran Islam, kaum wanita wajib menjauhkan diri mereka daripada program eHati berkenaan dan yang seumpama dengannya kerana ia mencemarkan maruah diri mereka sebagai wanita yang beragama Islam dan mencalar maruah agama Islam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |