SHAH ALAM – Polis membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berkaitan program motivasi rumah tangga, EHati yang didakwa songsang dan terpesong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi bagi mendapatkan pengesahan termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini daripada pihak ketiga dan kita akan memanggil individu terlibat bagi membuktikan sama ada wujud kesalahan jenayah.
“Kita buka kertas siasatan bagi mendapatkan keterangan terus dan mengesahkan sama ada benar wujud penggunaan air tertentu atau kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kenyataan saksi diperlukan bagi membantu siasatan lanjut termasuk dakwaan mengenai air tersebut.
“Kerjasama antara polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga berjalan lancar mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan program itu yang dianjurkan secara persendirian.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee memaklumkan akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi itu.
JAIS akan memanggil beberapa individu pada Selasa ini bagi membantu siasatan berhubung program itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada 27 hingga 30 September tahun lalu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu) iaitu melibatkan kesalahan berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Pada 2022, JAIS menerima aduan bekas peserta yang mengaitkan eHati dengan beberapa isu yang disifatkan tidak wajar dan tidak sesuai menjadi sebahagian modul dalam program itu.
Berdasarkan aduan itu, penganjur telah dipanggil panel pendengaran di bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak.
Terdahulu, tular dakwaan peserta program itu diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.
Mereka turut dipercayai disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain. – KOSMO! ONLINE