Eco-Shop catat hasil RM2.8 bilion bagi suku keempat

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Eco-Shop Marketing Berhad (Eco-Shop) mencatat rekod tertinggi baharu bagi hasil dan keuntungan selepas cukai (PAT) dalam keputusan kewangan suku keempatnya bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mei 2025 (4Q FY 2025).

 Hasil meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM2.8 bilion, disokong oleh pertambahan 74 cawangan baharu sepanjang tahun kewangan tersebut. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif,  Jessica Ng, walaupun berdepan peningkatan kos operasi akibat peluasan rangkaian kedai dan pelaksanaan dasar gaji minimum, PAT teras (diselaraskan bagi perbelanjaan IPO sekali sahaja sebanyak RM9.4 juta) meningkat selari dengan pertumbuhan hasil, naik sebanyak 17 peratus kepada RM213.7 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya.

 “Meskipun berdepan cabaran berkaitan ketidaktentuan makro ekonomi yang berterusan dengan cabaran semasa, kami kekal optimis terhadap prospek Eco-Shop. 

“Keyakinan kami disokong oleh peluasan berterusan rangkaian kedai kami dan permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap peruncitan berasaskan nilai. 

“Segmen peruncitan nilai di Malaysia masih belum diterokai sepenuhnya berbanding pasaran yang lebih matang seperti Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat, yang menawarkan potensi pertumbuhan jangka panjang yang kukuh. 

“Memandangkan keutamaan pengguna semakin beralih kepada kemampuan dan kemudahan, Eco-Shop berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang dan meningkatkan keberadaannya di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Bagi 4Q FY2025, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM689 juta, meningkat lapan peratus  daripada RM640.7 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

PAT teras untuk suku ini adalah sebanyak RM57 juta, berbanding RM63.4 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya. 

Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak satu sen sesaham biasa atau kira-kira RM57.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025, yang akan dibayar pada 26 Ogos 2025.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan, pihaknya terus berwaspada dalam menguruskan tekanan kos, termasuk tarif elektrik yang lebih tinggi, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta sumbangan KWSP bagi pekerja asing. 

“Kami sedang memperkukuh daya tahan melalui kecekapan rantaian bekalan, penetapan harga strategik, penambahbaikan produk, dan kerjasama rapat dengan pembekal kami.

“Seperti yang dijangkakan, pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sedikit perlahan selepas pelarasan harga pertengahan April, memandangkan pengguna memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan harga baharu. 

“Sementara itu, kami sedang melaksanakan kempen pemasaran yang disasarkan untuk meningkatkan kehadiran pelanggan. Walaupun SSSG mengalami sedikit kemerosotan, kami menjangkakan margin dan prestasi akan kekal sihat atau terus bertambah baik pada masa hadapan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |