‘Dia datang melenggang saja, nafkah anak saya kena mengemis’

6 hours ago 6

BANGI – Penyanyi Zehra Zambri mendakwa suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin langsung tidak mengambil berat soal kebajikan anak mereka, Zahiyah Iqleela, sehingga dia terpaksa ‘mengemis’ demi menuntut hak puteri kecil itu.

Zehra, 38, berkata, keperluan seperti susu dan lampin terpaksa ditanggung sepenuhnya menggunakan duit sendiri sebelum menuntut semula daripada suaminya.

“Bercakap soal kebajikan anak, ada masa hampir sebulan lebih dia tak jenguk pun.

“Kalau keperluan anak, saya yang keluarkan duit dahulu. Lepas tu baru saya minta semula daripada dia.

“Tapi nak minta pun bukan mudah, rasa macam perlu mengemis,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.

Begitupun, pelantun Semalakama itu berkata, fokus utamanya kini adalah menyelesaikan kes penceraian terlebih dahulu, biarpun terkilan dengan sikap suaminya.

“Saya tak mahu fikir sangat tentang kebajikan anak sebab saya mahu selesaikan dulu hal penceraian kami.

“Baru-baru ini anak saya masuk wad sebab kahak dalam paru-paru. Dari A sampai Z saya uruskan sendiri. Dia datang jaga satu malam sahaja,” ujarnya.

Tambah bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-11 itu, walaupun rumah tangga sedang retak menanti belah, dia tidak pernah menghalang suaminya bertemu anak.

Namun, dia terkilan apabila mendakwa kehadiran lelaki itu hanya demi kandungan media sosial.

“Saya tak pernah halang dia jumpa anak sebab itu pun anak dia.

“Tapi dia datang melenggang saja, tak bawa apa-apa. Semua urusan macam insurans dan bil hospital, saya yang tanggung.

“Kadang rasa kehadiran dia hanya untuk ambil gambar. Mungkin untuk konten semata-mata,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat memerintahkan keputusan perceraian membabitkan, Zehra Zambri dan suami, Nur Mohd. Iqwan Samsudin diselesaikan melalui Hakam Islah iaitu lantikan Hakam yang dilantik pihak mahkamah.

Sebelum ini, pihak mahkamah memutuskan kedua-duanya iaitu Nur Muhd Iqwan dan Zehra untuk melantik wakil masing-masing bagi proses JKP namun tiada kata putus dicapai membuatkan kes ditangguhkan hari ini.

Pada 7 Mac lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan selepas mendakwa lebih tiga tahun mempertahankan rumah tangga mereka.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |