Dewan Rakyat: Panduan pembangunan sekolah vertikal dimuktamadkan

1 day ago 7

KUALA LUMPUR – Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak telah dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, panduan pembangunan sekolah menegak itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Jelas beliau, Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak mengambil beberapa prinsip reka bentuk asas sekolah termasuk pengawasan dan keselamatan murid.

Kata beliau, ia menggariskan prinsip reka bentuk utama untuk sekolah termasuk sifat semula jadi, individualisme, daya tarikan dan kebolehcapaian, kawalan akustik dan penyediaan kemudahan sukan.

“Sekolah vertikal merupakan pendekatan inovatif dalam perkembangan institusi pendidikan di kawasan bandar berkepadatan tinggi, bertujuan mengoptimumkan penggunaan ruang yang terhad.

“Terdapat tiga model utama dicadangkan KPM. Model 1 pembinaan sekolah dalam tapak khusus untuk pendidikan sahaja. Model 2 menggabungkan kemudahan masyarakat seperti klinik dan perpustakaan.

“Model 3 melibatkan integrasi dengan perumahan dan projek komersial,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan projek pembinaan sekolah dua blok berkonsep menegak dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat.

Terdahulu, Kah Woh berkata, telah mengadakan sesi libat urus bagi memperhalusi keperluan reka bentuk sekolah vertikal itu bagi meneliti aspek pertimbangan yang perlu diberikan perhatian, antaranya keselamatan, kapasiti murid, akses dan juga kelestarian persekitaran.

Menurutnya, sesi libat urus itu melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta ibu bapa dan guru.

“Pelaksanaan sekolah vertikal tertakluk kepada penilaian KPM dan agensi teknikal khususnya di kawasan yang mempunyai populasi lebih 1 juta orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |