KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat Papa) pada 1 Ogos ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Ops Selamat Papa sangat penting kerana ia bukan saja untuk menyelamatkan golongan bapa, tetapi juga menyelamatkan kaum ibu.
Kata beliau, ia bertujuan memastikan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dijalankan secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan di seluruh negara.
Menurut beliau, Ops Selamat PaPa bukan hanya membabitkan KKM, sebaliknya akan turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Ops Selamat Papa bukan hanya untuk menyelamatkan papa (bapa), tetapi ops untuk menyelamatkan mama (ibu) juga akibat daripada papa yang merokok.
“Daripada segi fakta tahun 2022 hingga 2023, daripada kes paru-paru 8091 jumlahnya… daripada kalangan kaum lelaki 5,251, manakala wanita 2,840. Jadi Ops Selamat Papa juga akan menyelamatkan mama,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) pendirian KKM terhadap langkah beberapa kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dan vape.
Terdahulu, Dzulkefly berkata, KKM mengambil maklum tindakan kerajaan Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik atau vape.
Menurutnya, KKM menyambut baik keputusan tersebut memandangkan kuasa perlesenan premis perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kerajaan Negeri.
Kata beliau, pendekatan itu sejajar dengan aspirasi untuk melindungi kesihatan awam, namun kawalan yang dilaksanakan pada masa ini hanya. melibatkan larangan penjualan produk merokok di premis tertentu seperti kedai khas dan tidak merangkumi kedai runcit atau serbaneka.
“Bagi mencapai kawalan yang lebih menyeluruh, khasnya dalam agenda pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape, ia masih lagi di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE