Dewan Rakyat: 1,766 aduan abai, aniaya haiwan disiasat

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, sebanyak 1,766 aduan berhubung pengabaian dan penganiayaan haiwan disiasat dari tahun 2020 sehingga Jun 2025.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sebanyak 52 daripadanya telah disabitkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“KPKM melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) amat mengambil berat tentang isu penderaan dan pembunuhan haiwan di negara ini khususnya yang berkaitan dengan haiwan terbiar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung pengenalan rangka kerja kebangsaan yang menyeluruh untuk menangani
penderaan haiwan terbiar di negara ini.

Arthur berkata, bagi menangani kes penderaan dan pembunuhan haiwan di negara ini, DVS telah membangunkan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021 – 2030.

Menurut beliau, ia merupakan satu rangka kerja jangka panjang bertujuan memastikan pengurusan haiwan yang dijalankan di negara ini mengikut piawaian kebajikan haiwan.

Kata beliau, Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021 – 2030 juga bertujuan memupuk masyarakat supaya mempunyai sifat sayang dan ihsan kepada haiwan.

Katanya, KPKM dan DVS turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pakar kebajikan haiwan bagi pembangunan berterusan memperkukuhkan kebajikan haiwan.

Ujar beliau, antara aktiviti telah dilaksanakan Program Libat Urus DVS dengan PBT bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu-isu kawalan pembunuhan haiwan dan pengurusan haiwan terbiar.

“Kedua, pengukuhan pengurusan aduan kebajikan dan penganiayaan haiwan melalui Sistem Myanimal Welfare. Ketiga, program kesedaran, pendidikan dan promosi kebajikan haiwan kepada masyarakat.

“Keempat, kerjasama dengan pihak media bagi mengemaskini isu-isu terkini berkaitan penderaan, pengabaian dan kebajikan haiwan dan kelima, pembangunan Pek Sumber Kebajikan Haiwan @ Prasekolah dalam bentuk bahan pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |