NEW JERSEY – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menganggap aksi final Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium MetLife awal pagi esok seperti perlawanan catur.
Meskipun menganggap aksi menentang juara Eropah itu bukan satu perkara mudah, namun Maresca tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuannya untuk merencanakan percaturan terbaik pada perlawanan itu.
Beliau berkata, PSG dibarisi pemain-pemain yang memiliki kemahiran teknikal cukup baik, sekali gus mampu untuk memberi ancaman kepada pintu gol The Blues sekiranya diberikan ruang bergerak bebas.
Justeru, pemain-pemain Chelsea diingatkan supaya tidak lalai walaupun sesaat pada aksi final nanti sekiranya mahu memberikan cabaran dan cuba untuk menjadi juara sulung CWC edisi baharu itu.
“Saya sangat sukakan permainan catur kerana ia ada banyak persamaan dengan bola sepak dari segi taktikal. Bagaimanapun, pergerakan catur tidak boleh diaplikasikan dalam bola sepak tetapi ada persamaannya.
“Sebagai contoh, saya perlu bertindak sekiranya jurulatih pasukan lain melakukan sebarang pergerakan ataupun perubahan taktikal ketika permainan. Ia seperti permainan catur antara saya dan Luis (Enrique) nanti,” katanya.
Wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dijangka turun dengan status sebagai pasukan underdog berdasarkan prestasi semasa dipamerkan PSG, termasuk membelasah juara Eropah 15 kali, Real Madrid 4-0 di separuh akhir.
Sementara itu, Maresca menjelaskan, mereka juga memiliki corak permainan tersendiri yang mampu untuk memberikan kesukaran kepada PSG, sama seperti dilakukan ketika dalam laluan ke perlawanan akhir.
“Memang ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat mencabar kerana mereka memiliki ramai pemain hebat. Bagaimanapun, kami ada cara tersendiri dan ia sudah dibuktikan dalam perlawanan-perlawanan terdahulu,” ujarnya. – AGENSI