SHAH ALAM – “Jaga diri, jangan sampai rosakkan kredibiliti hanya kerana satu kesilapan.”
Demikian pesanan penyanyi Black Hanifah kepada para pempengaruh dan rakan artis susulan kontroversi membabitkan seorang pempengaruh dikenali sebagai abang CEO Batu yang kini berdepan pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, sebagai seorang yang mengenali tertuduh secara peribadi, dia lebih selesa untuk tidak mengulas panjang mengenai kes tersebut namun tetap tampil memberi nasihat.
“Saya tak mahu komen apa-apa sebab kita pun tak tahu mengenai isu ini.
“Sebagai seorang abang yang mengenalinya, dia (CEO Batu) seorang yang menjaga tutur bahasa bila bercakap dan suka berterima kasih. Cuma muka dia sajalah yang ganas,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media konsert Exclusive Night Nyawa Black Hanifah yang diadakan di Grand Premier Hall, Bukit Jelutong, Shah Alam, di sini hari ini.
Pelantun lagu Hijab Rindu itu turut menasihatkan para pempengaruh dan rakan-rakan industri agar lebih berhati-hati dalam membawa imej diri, memandangkan sebarang isu yang timbul boleh menjejaskan kerjaya mereka.
“Sebagai seorang abang, saya ingin nasihatkan kepada rakan artis dan pempengaruh lain, jagalah diri. Jangan disebabkan isu sebegini boleh merosakkan kredibiliti yang dibina hilang begitu sahaja.
“Saya sendiri tak mahu perkara sebegitu berlaku, sebab kita tahu rezeki ini Allah yang bagi, bukan senang nak dapat,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, Black berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Sementara itu, Black turut berkongsi mengenai konsert istimewa Nyawa By Black Hanifah yang bakal berlangsung pada 26 Julai ini di Setia City Convention Centre, Shah Alam sempena meraikan 17 tahun penglibatannya dalam industri seni tanah air.
“Bukan sekadar hiburan, ini adalah simbolik kepada perjalanan saya selama hampir dua dekad dalam industri. Saya akan bawakan lagu-lagu yang dekat dengan peminat dan tentunya pengalaman yang berbeza,” katanya.
Terdahulu, seorang pempengaruh yang dikenali sebagai abang CEO Batu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Mei lalu.
Bagaimanapun tertuduh Muhamad Iqbal Muhamad, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Batu Caves di sini pukul 1.16 pagi pada 16 Mei lalu mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Seksual Kanak-Kanak 2017.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE