‘CEO Batu’ didakwa lagi simpan bahan lucah dalam telefon bimbit

4 hours ago 1

SELAYANG – Pempengaruh yang dikenali sebagai ‘CEO Batu’ didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya pada Mei lalu.

Bagaimanapun tertuduh Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam simpanan galeri telefon bimbit miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini pukul 11.39 pagi pada 22 Mei lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 292 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Nabil Ashraff Ridzuan yang mewakili Muhamad Iqbal memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya telah hilang punca pendapatan sebagai pencipta kandungan sejak kesnya berjalan.

“Sebelum ini anak guam mempunyai pendapatan sekitar RM3,000, bagaimanapun sejak kes ini, banyak kontrak ditamatkan. Bapa tertuduh bekerja di sebuah kilang, tertuduh sendiri mempunyai masalah saraf akibat kemalangan, mohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah dengan mengambil kira faktor-faktor ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Guan Hock membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes.

Semalam Muhamad Iqbal didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Mei lalu.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘CEO Batu’ bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej dan gambar berunsur seksual kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pempengaruh berusia 22 tahun itu diberkas selepas ibu mangsa membuat laporan kepada pihaknya semalam.

Terdahulu, Kosmo! turut melaporkan penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah dihantar oleh seorang pempengaruh kepada remaja perempuan bawah umur.

Menerusi beberapa hantaran di akaun Instagramnya, Caprice dihubungi ibu remaja terbabit yang meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.

Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |