Cabaran keselamatan rantau Asia Pasifik semakin rumit

2 hours ago 4

PETALING JAYA – Menteri Luar, Mohamad Hasan memaklumkan, cabaran keselamatan yang dihadapi oleh rantau Asia Pasifik semakin rumit dan bersifat multidimensi.

Beliau ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Forum Serantau ASEAN (ARF) Ke-32 berkata, ARF berisiko kehilangan kerelevanan jika gagal bertindak balas terhadap keadaan itu.

“Untuk terus kekal relevan dan berkesan, ARF mesti terus berkembang. Ia perlu menunjukkan keupayaan dan daya tindak yang lebih besar terhadap realiti baharu.

“Keutamaan kepada objektif-objektif ini adalah kunci bagi memastikan ARF kekal sebagai satu struktur keselamatan serantau yang inklusif dan berwibawa,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, ARF mesti terus menegaskan komitmen terhadap keluhuran undang-undang antarabangsa dan mengekalkan satu aturan antarabangsa.

Ujar beliau, ARF mesti kekal responsif terhadap cabaran paling mendesak di rantau ini seperti ketegangan maritim yang terus berlaku di laluan perairan utama.

Tambah beliau, ancaman siber yang semakin meningkat pula menjejaskan infrastruktur, menyebarkan maklumat palsu dan menghakis kepercayaan awam.

Kata beliau, perubahan iklim yang dahulunya dilihat sebagai risiko jangka panjang kini menjadi ancaman pelbagai dimensi yang memburukkan keselamatan.

“ARF mesti diperkasa untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan. Di luar dialog, ia sepatutnya memainkan peranan lebih besar dalam sistem amaran awal dan respons khususnya dalam krisis kemanusiaan, kecemasan kesihatan dan pencegahan konflik.

“Kita perlu beralih daripada dialog kepada tindakan. Malaysia menyeru kerjasama diperkukuh melalui projek bersama dalam bidang utama seperti keselamatan maritim, memerangi keganasan dan kesiapsiagaan bencana serta penyelarasan yang lebih baik dengan platform ASEAN lain,” katanya.

Sementara itu, katanya, Malaysia, selaku Pengerusi kekal komited untuk meremajakan ARF, malah ia antara keutamaan utama Malaysia di bawah Tonggak Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN.

“Pegawai-pegawai kanan ASEAN sedang giat mengadakan perbincangan untuk menangani isu itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |