Budak trauma ditikam bapa, sukar beri keterangan kepada polis

19 hours ago 9

PASIR MAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang cedera ditikam bapanya di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini pada 2 Mei lalu masih trauma dengan kejadian menimpanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, keadaan mangsa kini stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, namun sukar untuk memberi keterangan kepada polis.

Menurutnya, mangsa lebih banyak berdiam diri dan hanya mengangguk semasa siasatan lanjut berhubung kes tersebut dijalankan.

“Berdasarkan maklumat doktor, mangsa trauma dengan kejadian tersebut. Mungkin kanak-kanak itu masih terkejut dengan tindakan suspek terhadapnya.

“Siasatan lanjut masih belum dapat dijalankan. Jadi, kita beri sedikit masa kepada mangsa untuk membantu polis menyelesaikan siasatan kes tersebut dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kama Azural memberitahu, sehubungan itu, tempoh tahanan reman terhadap suspek yang berusia 47 tahun disambung selama tujuh hari bermula 10 Mei hingga 16 Mei ini.

Menurutnya, lanjutan reman itu bagi membolehkan pihak polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera ditikam bapanya yang dipercayai mengalami gejala kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini pada 2 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, suspek telah menikam mangsa yang berusia 11 tahun sebanyak dua kali pada bahagian dada dan sekali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.

Kama Azural berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada krisis rumah tangga yang dihadapi oleh suspek yang kini dalam proses penceraian dengan isterinya untuk kali ketiga.

Menurutnya, kes perceraian itu dijadualkan disebut pada 13 Mei lalu di Mahkamah Syariah Tumpat dekat sini.

“Selain itu, suspek dipercayai mempunyai masalah mental dan menerima rawatan psikiatri sejak dari 2008 sehingga kini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |