JOHOR BAHRU – Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail menempelak dakwaan dibuat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa dia hanyalah seorang budak tidak dikenali.
Sebaliknya, Mohamad Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkata, dia telah berkhidmat di peringkat akar umbi bagi membantu menenangkan bekas Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15.
Sehubungan itu katanya, dia kesal dengan kenyataan Rafizi yang bersifat peribadi dan tidak berlandaskan fakta sehingga mencetus persepsi negatif terhadapnya.
“Kenyataan ini bukan sahaja tidak wajar dan tidak berfakta, malah bertentangan dengan semangat demokrasi serta prinsip hormat-menghormati dalam parti.
“Saya bukan budak seperti yang digambarkan, tetapi saya seorang aktivis akar umbi yang telah berkhidmat, berjuang dan membina kepercayaan anggota hingga diberi mandat sebagai Ketua Cabang.
“Hanya kerana saya bertanding melawan Akmal Nasir dan tidak berada dalam lingkungan dalaman tertentu tidak bermakna saya tidak dikenali atau tidak berkelayakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohamad Taufiq berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Rafizi menerusi podcast ‘Yang Bakar Menteri’ mendakwa dirinya sebagai budak tidak dikenali dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Tambah Mohamad Taufiq, PKR tidak dimiliki oleh satu-satu kelompok elit sahaja sebaliknya adalah milik seluruh rakyat yang menganggotainya termasuklah di peringkat akar umbi.
“Rafizi juga ada menyebut ‘kartel’ baharu yang akan muncul, kena ingat kartel itulah yang sedang dibina oleh pasukan HIRUK itu sendiri kerana mewujudkan perbezaan dan jurang dengan membezakan latar belakang pendidikan dan mengasingkan diri untuk kelihatan seperti golongan elit dan tidak pandang ke bawah.
“Jika benar Rafizi tidak mengenali Taufiq Ismail lagi, mungkin sudah tiba masanya wajib dan harus lebih turun ke bawah dalam menyantuni pemimpin akar umbi yang sedang giat bekerja untuk parti,” jelasnya.
Dua minggu lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir tewas mengejut di tangan Mohamad Taufiq. Berdasarkan laman sesawang keputusan Pemilihan PKR 2025, Akmal hanya mampu meraih 587 undi manakala memperoleh 709 undi.
Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air kemudian dilaporkan telah membuat bantahan kepada JPP dengan mendakwa beliau memiliki lebih undi mengatasi lawannya.- KOSMO! ONLINE