Beli tiket MCR macam berperang, kena jawab soalan ‘exam’

6 hours ago 2

PETALING JAYA – Kegilaan peminat My Chemical Romance (MCR) membeli tiket konsert kumpulan berkenaan yang bakal berlangsung pada 30 April 2026 membuatkan laman web penjualan tiket iaitu Go Live mengalami masalah teknikal.

Meninjau reaksi ramai dalam media sosial sejak tiket mula dijual pada pukul 11 pagi tadi, rata-rata kecewa apabila laman web tersebut tidak dapat diakses berkemungkinan impak ‘overload traffic’ (lonjakan trafik).

Lebih lucu, ada yang terkejut apabila perlu menjawab soalan berkaitan lagu dan video muzik MCR sebelum dapat akses membeli tiket konsert tersebut.

“Sudahlah panik risau web ‘crash’ kena jawab soalan tentang MCR pula, macam peperiksaan!

“Saya dapat soalan tentang lokasi penggambaran babak pengebumian dalam video muzik lagu Helena. Saya jawab salah, kena ‘tendang’ dan perlu tunggu semula giliran.

“Macam nak pergi ‘perang’, tunggu giliran sejam, tiba-tiba laman web ‘crash’!” luah peminat MCR.

Namun, dalam masa sama ramai juga bergembira apabila perjuangan mereka mendapatkan tiket berhasil.

“Berpeluh-peluh nak ‘battle’, nasib baik dapat beli!

“Akhirnya dapat jawab soalan tepat, siapa yang tak tahu tentang MCR disarankan jangan beli,” ujarnya.

Terdahulu, selepas beberapa kali muncul dengan ‘teaser’ penganjur konsert tersebut iaitu Hello Universe mengumumkan konsert MCR di Malaysia bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada April tahun depan.

Perkongsian tersebut membuatkan ramai peminat setia MCR yang dianggotai Gerard Way Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way teruja meskipun harga tiket ratusan ringgit.

Malaysia merupakan salah satu lokasi yang tersenarai dalam siri jelajah MCR di Asia Tenggara selain Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Jakarta.

Antara seleksi popular MCR yang terus menjadi siulan sehingga hari ini adalah Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |