Bekas juara dunia wushu tak mahu leka

6 hours ago 3

RATU wushu negara, Tan Cheong Min tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian pada Piala Asia Wushu Taolu di Songyuan, China baru-baru ini, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai dorongan untuk terus melonjakkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

Meskipun keputusan di kejohanan edisi sulung tersebut tidak menepati jangkaan peribadi, namun atlet berusia 25 tahun itu kekal positif dan menganggap ia sebagai titik penting untuk menilai kelemahan serta memperkemaskan kemahiran menjelang aksi lebih besar musim ini.

“Keputusan di Piala Asia tidak seperti yang saya harapkan, jadi sudah tentu ada rasa kecewa. Tapi dalam masa sama, ia menjadi titik perubahan penting buat saya.

“Ia ingatkan saya bahawa kegagalan itu sebahagian daripada proses dan beri saya motivasi untuk berusaha lebih keras. Saya percaya saya boleh buat lebih baik,” katanya kepada Kosmo!.

Cheong Min turut berterima kasih kepada Persekutuan Wushu Malaysia, barisan kejurulatihan serta rakan sepasukan yang terus memberi kepercayaan dan semangat meskipun dia melakukan kesilapan teknikal pada acara pertama.

“Mereka tetap percaya dan beri semangat untuk saya lakukan yang terbaik dalam acara kedua. Sokongan seperti itu sangat bermakna, terutama bila saya tak menang. Ia bantu saya tingkatkan teknik dan tahap kesukaran rutin,” jelasnya.

Tumpuan Cheong Min kini beralih ke kejohanan lebih besar termasuk Sukan SEA Thailand 2025 dan Kejohanan Dunia tahun ini, namun lebih memberi perhatian kepada Sukan Dunia (World Games) di Chengdu, China awal Ogos bulan depan

“World Games sangat penting untuk uji diri sekali lagi di pentas antarabangsa. Sukan SEA dan Kejohanan Dunia juga dalam kalendar tahun ini, tapi kami masih tunggu senarai akhir daripada jurulatih.

“Saya kekal fokus dan buat persiapan seolah-olah saya akan dipanggil. Jika diberi peluang, saya sedia wakili negara dan beri persembahan terbaik dalam kedua-dua kejohanan,” katanya.

Dengan dua gelaran juara dunia, satu perak Sukan Asia dan dua emas Sukan SEA, Cheong Min terus menjadi taruhan utama skuad wushu negara.

Read Entire Article
Pertanian | | | |