Bank Islam umum GCEO baharu

16 hours ago 5

PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Raja Datin Teh Maimunah Raja Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa 1 April 2026.

Menurutnya, pelantikan tersebut adalah hasil daripada proses pencarian yang rapi dan menyeluruh, di mana Lembaga Pengarah telah menilai sekumpulan besar calon yang berkelayakan tinggi sebelum memutuskan Raja Teh Maimunah sebagai calon terbaik untuk memimpin Kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya.

Beliau menggantikan Datuk Mohd. Muazzam Mohamed, yang telah bersara awal pada Disember 2025 setelah lebih sedekad di Bank Islam.

Raja Teh Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (LLB) Undang-Undang (Kepujian) dan Doktor Kehormat Undang-Undang dari University of East London, serta merupakan Felo Pegawai Bank Bertauliah dan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam (CPIF).

Sebelum menyertai Bank Islam, beliau adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEON Bank (M) Bhd. dan menerajui pelancaran bersejarah bank digital Islam pertama di Malaysia.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau merupakan perancang utama di sebalik infrastruktur natif awan teras bank tersebut, sekali gus meletakkan penanda aras baharu bagi inovasi digital patuh syariah.

Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Ismail Bakar berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Raja Teh Maimunah sebagai CEO Kumpulan yang baharu.

“Kepimpinan beliau yang terbukti dalam industri kewangan dan inovasi digital adalah sejajar dengan aspirasi strategik kami.

“Sebagai peneraju perbankan Islam Malaysia, Bank Islam sentiasa berubah seiring keperluan negara.

“Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinan beliau, Kumpulan akan terus memperkukuhkan kedudukan pasaran, memacu inovasi dan menyampaikan nilai mampan kepada semua pemegang taruh, pada masa sama menjunjung standard tertinggi syariah dan integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |