Balisong naik bas ke KL Sentral

5 hours ago 4

SHAH ALAM – Seorang remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang baru-baru ini dipercayai telah menaiki bas menuju ke KL Sentral, Kuala Lumpur sejurus tiba di negara ini.

Remaja berkenaan tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tujuan remaja berkenaan berada di negara ini masih belum dapat dipastikan.

Katanya, pihak konsulat memaklumkan nombor telefon bimbit remaja berkenaan tidak dapat dihubungi sehingga kini.

“Remaja itu telah keluar dari kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini.

“Semakan pihak polis dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mendapati tiada pergerakan keluar dari Malaysia membabitkan remaja itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelasnya, berdasarkan maklumat dari pihak konsulat, ibu remaja itu akan tiba ke Malaysia dalam masa terdekat.

Terdahulu media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.

Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.

Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan menyatakan bahawa remaja berkenaan dipercayai masih berada di dalam negara selepas tiba di KLIA.

Siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan berkaitan kehilangan mangsa di Main Terminal Building (MTB), KLIA.

Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-736 9187. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |