ASEAN-Asia Timur: Tamatkan semua konflik global

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa negara-negara peserta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk mengambil tindakan tegas bagi menamatkan semua konflik global berpandukan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelbagai konflik yang sedang berlaku di seluruh dunia perlu ditangani secara berkesan dan penderitaan yang tidak terkira mesti diringankan.

Menurutnya, dalam perkara melibatkan keamanan termasuk di Ukraine dan Asia Barat, usaha-usaha ini harus berlandaskan kepada undang-undang antarabangsa, kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Selain itu, konflik paling lama dalam sejarah moden berpunca daripada penjajahan tidak adil dan tidak sah ke atas Wilayah Palestin mesti ditamatkan.

“Selama 80 tahun Israel kebal sehingga sanggup secara terbuka melakukan pembunuhan beramai-ramai termasuk kekejaman yang menyasarkan bayi dan kanak-kanak. Ini tidak dapat diterima, tidak boleh dibiarkan terus berlaku. Mesti dihentikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak EAS ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohamad berkata, justeru ASEAN mengharapkan keterlibatan konstruktif dan komitmen semua rakan untuk menjamin keamanan yang berkekalan, kemakmuran bersama dan kemajuan berterusan untuk semua.

Mengulas lanjut, katanya, Sidang Kemuncak EAS boleh menjadi satu forum terbuka, inklusif, telus dan berpandangan jauh untuk mengukuhkan norma global dan nilai sejagat yang diiktiraf, dengan ASEAN sebagai penggerak utama, bekerjasama dengan negara-negara peserta EAS yang lain.

“Dalam dunia yang saling terhubung dan bergantung, keamanan, kestabilan dan kemakmuran adalah hak bersama semua. Kita mesti terus bekerjasama untuk memastikan ia dilindungi dan terus berkembang.

“Dunia hari ini berdepan dengan jaringan krisis yang rumit mengancam keamanan global, kemakmuran bersama dan kesejahteraan rakyat di seluruh dunia,” katanya.

Katanya, Malaysia menghargai sokongan negara-negara peserta EAS terhadap keutamaan negara ini sebagai Pengerusi ASEAN dalam memupuk kepercayaan strategik melalui diplomasi, niat baik, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa termasuk melalui platform ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |