LONDON – Arsenal mencipta kejutan dalam jendela perpindahan musim panas apabila bersetuju membayar £1 juta (RM5.77 juta) kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat penyerang muda Kanada, Olivia Smith sekali gus memecahkan rekod dunia perpindahan pemain wanita.
Nilai itu mengatasi rekod terdahulu sebanyak £900,000 (RM4.91 juta) yang dibayar Chelsea bagi mendapatkan pemain pertahanan Amerika Syarikat, Naomi Girma dari San Diego Wave pada Januari lalu.
Bagaimanapun, perpindahan pemain berusia 20 tahun itu ke Stadium Emirates masih tertakluk kepada pemeriksaan perubatan serta persetujuan syarat peribadi antara kedua-dua pihak.
Smith yang menyertai Liverpool dari Sporting Lisbon pada Julai 2024 dengan bayaran rekod kelab melebihi £200,000 (RM1.15 juta) berjaya mencuri tumpuan dalam musim pertamanya di Liga Super Wanita (WSL) apabila menjaringkan tujuh gol daripada 20 penampilan.
Biarpun masih berbaki dua tahun dalam kontraknya bersama Liverpool, Arsenal dilapor tidak teragak-agak meletakkan bidaan lumayan bagi mendapatkan bintang muda yang kini telah 18 kali mewakili Kanada dan menjaringkan empat gol antarabangsa.
The Gunners sebelum ini turut memperkukuh barisan serangan mereka dengan membawa masuk Chloe Kelly secara perpindahan percuma dari Manchester City dan bekas bek kiri Liverpool, Taylor Hinds.
Smith dijangka menyertai skuad bertatah bintang di barisan hadapan Arsenal termasuk nama besar seperti Beth Mead, Caitlin Foord, Katie McCabe, Alessia Russo, Chloe Kelly dan Stina Blackstenius.
Sementara itu, bekas pemain England dan Manchester City, Izzy Christiansen menyifatkan jumlah perpindahan itu sebagai satu langkah besar buat bola sepak wanita.
“Wah, bayarannya besar. Dia masih muda dan berada di awal karier, tetapi akan ke kelab yang bagus.
“Mereka mempunyai barisan hadapan yang sangat kuat dan mendalam. Ini menunjukkan Arsenal sedang menambah kekuatan kepada skuad yang telah menjuarai Liga Juara-Juara dan pastinya mahu mengulang kejayaan itu sekali lagi.
“Saya yakin keutamaan mereka adalah untuk menjuarai WSL juga. Dia sudah tentu menambah kedalaman skuad. Namun, masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada dia akan menjadi pemain utama atau tidak.
“Saya pasti ini adalah projek untuk masa terdekat untuk menyarung jersi Arsenal. Ia merupakan bayaran yang agak mahal untuk bola sepak wanita,” katanya. – AGENSI