PETALING JAYA – Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membawa kenderaan pasukan secara berbahaya ketika melalui jalan Simpang Pulai, Perak dikenakan tindakan gantung tugas.
Kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam sebelum dimuat naik dan tular di media sosial, hari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, anggota itu ditempatkan ke jawatan kumpulan di ibu pejabat sehingga siasatan kes tersebut selesai.
“Notis saman kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar juga dikeluarkan selain dilarang memandu kenderaan jabatan.
“Pihak JPJ memandang serius kejadian itu dan tindakan tegas secara serta-merta dikeluarkan kepada anggota JPJ terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Aedy Fadly, pihaknya juga mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan berkaitan kesalahan lain melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota serta kakitangan jabatan ini yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“Pihak JPJ merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada orang awam yang merakam kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“JPJ menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus jika terdapat mana-mana pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan menerusi aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel [email protected] berserta butiran lengkap,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial sebuah video yang merakam kenderaan JPJ memotong garisan berkembar.
Kejadian yang dirakam pada pukul 10.18 pagi itu memaparkan pemandu dari arah bertentangan sempat mengelak daripada terlanggar kenderaan JPJ tersebut. – KOSMO! ONLINE