Anak orang asli Kampung Mentelong bakal ke Manchester 

6 hours ago 3

KUANTAN – Di sebalik kejayaan cemerlang pelajar orang asli, Roziana Tan Ben Hai yang menerima anugerah khas selepas meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini, tersimpan kisah pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu tunggal yang bekerja di ladang demi memastikan anaknya berjaya ke menara gading.

Menurut Roziana, 20, yang berasal dari Kampung Mentelong, Rompin, ibunya, Rohani Labwan, 56, merupakan pekerja ladang di YP Plantation sejak lapan tahun lalu dan sebelum itu mencari rezeki sebagai penoreh getah untuk menyara keluarga.

“Emak besarkan saya dan kakak seorang diri, malah sejak saya kecil lagi, saya tidak kenal siapa ayah saya. Sekarang emak sudah berusia dan saya mahu menghadiahkannya ‘sesuatu’ sebagai balasan.

“Paling sedih bila emak cakap dia sudah tidak larat untuk kerja, berat tetapi dia masih perlu bekerja di ladang berkenaan untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini, hari ini.

Mengenai niatnya untuk menyambung pengajian di luar negara, Roziana berkata, dua daripada lima permohonannya sudah diterima untuk belajar di Universiti Of Manchester, United Kingdom (UK) dalam jurusan Pengajian Sosial Ekonomi serta jurusan Hubungan Antarabangsa.

Dalam masa sama, seorang lagi pelajar dari Rompin, Siti Norawani Mama Almi, 18, turut menerima Anugerah Khas Murid Cemerlang SPM 2024 selepas memperoleh keputusan 9A termasuk dalam peperiksaan itu tahun lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah, Rompin berkata, dia akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan Islam di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu, Ogos ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jakoa, Zamri Mustajap berkata, seramai 149 pelajar orang asli yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM tahun lalu dari seluruh negara diraikan Jakoa pada majlis berkenaan dengan empat daripada mereka menerima anugerah khas. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |