‘Anak Merdeka Malaysia’ rai individu lahir 31 Ogos, 16 September

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan inisiatif ‘Anak Merdeka Malaysia’ bagi meraikan rakyat Malaysia yang lahir pada 31 Ogos dan 16 September.

Inisiatif yang diadakan menerusi Arkib Negara Malaysia (ANM) ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar meraikan tarikh lahir semata-mata, tetapi membawa makna mendalam dalam mengangkat semangat
kenegaraan dan jati diri bangsa.

“Melalui ‘Anak Merdeka Malaysia’, kita bukan sahaja meraikan tarikh lahir mereka, tetapi kita menyatukan suara rakyat dalam satu identiti kebangsaan.

“Inilah wajah sebenar Malaysia Madani negara yang menyanjung sejarah, menyemai harapan dan menyatukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendaftaran kini dibuka kepada semua warganegara Malaysia yang berkongsi tarikh lahir pada detik bersejarah tersebut, tanpa mengira latar belakang, umur atau kaum.

Mereka yang berdaftar akan diberi peluang istimewa untuk menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan rasmi peringkat kebangsaan.

Selain itu mereka juga bakal menerima cenderahati kenang-kenangan, dan diraikan sebagai antara wira simbolik negara yang mewakili semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Pendaftaran boleh dibuat dengan mudah melalui imbasan kod QR pada poster hebahan atau dengan melayari pautan rasmi berikut https://forms.gle/Zd3fPnGaJwFgWeHNA

“Kementerian Perpaduan Negara menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar turut menyebarkan maklumat ini kepada ahli keluarga, sahabat handai dan komuniti setempat, agar lebih ramai dapat diraikan sebagai sebahagian daripada legasi merdeka.

“Inilah peluang kita sebagai rakyat untuk memperkukuh semangat patriotisme melalui penyertaan yang inklusif dan bermakna,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |