AMM-58 perkukuh hubungan strategik Malaysia – AS

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Pertemuan bersejarah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Senator Marco Rubio, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) telah membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik dua hala antara Malaysia dan Washington.

Menurut penganalisis geopolitik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, pertemuan itu membuktikan bahawa kedua-dua negara berhasrat memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang utama termasuk perdagangan, tenaga, teknologi dan keselamatan maritim.

Salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah pengenaan tarif 25 peratus oleh AS ke atas beberapa produk dari Malaysia. Perdana Menteri menekankan keperluan dialog terbuka dan adil, manakala pihak AS menjelaskan bahawa tarif tersebut bersifat umum dan tidak ditujukan khusus kepada Malaysia.

“Malaysia diberikan masa sebulan untuk mengemukakan cadangan balas, satu peluang penting bagi merapatkan jurang dan mencari penyelesaian,” kata Prof. Mizan dalam satu kenyataan.

Antara pencapaian utama lawatan itu ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Kerjasama Strategik Nuklear Awam antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Malaysia turut menyatakan hasrat memulakan rundingan Perjanjian 123, satu perjanjian penting bagi pemindahan teknologi nuklear secara selamat dan dikawal selia.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik Malaysia untuk beralih ke sumber tenaga lebih bersih dan mampan.

Dalam sidang bilateral, Malaysia turut menegaskan komitmen memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara.

Malaysia sedang menggubal peraturan baharu yang dijangka dikuatkuasakan hujung bulan ini, bagi menjamin keselamatan pelayaran dan kedaulatan maritim.

Dalam pada itu, lawatan Rubio ke Kuala Lumpur juga memperlihatkan pengiktirafan Amerika terhadap kedudukan Malaysia dalam percaturan serantau Indo-Pasifik.

Negara dilihat sebagai jambatan penting antara kuasa besar dan negara membangun, terutamanya dalam isu teknologi, keselamatan dan kestabilan global.

“Malaysia juga tidak lagi dilihat sekadar pemerhati, tetapi sebagai pemain utama dalam mencorakkan masa depan rantau ini,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, kehadiran Presiden AS ke Sidang Kemuncak ASEAN–AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur, Oktober ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan strategik Kuala Lumpur–Washington. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |