‘Alhamdulillah, Alor Setar dah hujan’

11 hours ago 8

ALOR SETAR – “Alhamdulillah, petang ini Titi Gajah (Alor Setar) hujan. Walaupun hanya beberapa minit, memang rasa nikmatnya sebab dapat turunkan sedikit suhu panas ini.”

Demikian kata penduduk Titi Gajah di Pantai Johor, di sini, Sayuti Wan Chik yang bersyukur apabila hujan melanda kawasan rumahnya kira-kira pukul 3 petang tadi.

Menurutnya, suhu panas di daerah Kota Setar sudah mencecah Tahap Dua (Gelombang Haba) dan sudah tidak hujan sejak lebih sebulan lalu.

“Cuaca panas daripada 38 darjah Celcius turun sedikit kepada 34 darjah Celcius di Kepala Batas, manakala di Alor Setar 33 darjah Celcius selepas hujan tadi.

“Walaupun hujan renyai dan sekejap sahaja, orang Alor Setar tetap bersyukur sebab dah lama panas berbahang. Cuma sekarang ini di bandar Alor Setar sudah kembali panas,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Jitra, Sufian Ismail, 48, bersyukur akhirnya dapat menikmati hujan setelah sekian lama.

“Saya berharap ada hujan lagi sebab sekarang ini sangat panas, di sana sini berlaku kebakaran. Jika ada hujan, sejuk sikit suasana di Alor Setar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, hampir semua daerah di negeri ini kecuali Langkawi dan Bandar Baharu dijangka menerima turunan hujan atau ribut petir petang ini.

“Dalam fasa peralihan monsun ini selalunya pada sebelah petang akan berlaku hujan atau ribut petir. Justeru, saya meminta orang ramai peka kepada perubahan cuaca dan merujuk laman web atau media sosial Jabatan Meteorologi untuk maklumat cuaca terkini,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 86,030 pelajar dari 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) apabila dua daerah itu merekodkan suhu pada Tahap Dua (Gelombang Haba) tiga hari berturut-turut sejak Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |