PUTRAJAYA- Kerajaan akan memperkenalkan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat bagi mengukuhkan ketelusan dan memberikan akses sebenar kepada orang awam terhadap keputusan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Rang Undang-Undang berkenaan akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
“Ini merupakan langkah penting dalam membina keyakinan rakyat serta menggalakkan penyertaan bermaklumat dalam sistem demokrasi negara.
“Undang-undang ini akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini supaya rakyat dapat memantau dan supaya kerajaan lebih bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada pada Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga akan membentangkan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] hujung tahun ini bagi menyediakan perlindungan yang lebih luas dan lebih bermakna kepada golongan pemberi maklumat.
Katanya, ini termasuk menghapuskan pengecualian terdahulu yang mengehadkan perlindungan serta menubuhkan Jawatankuasa Bebas Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.
Sebelum ini, kerajaan pada 2023 bersetuju secara prinsip untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat bertujuan membina parameter dan garis panduan jelas bagi akses maklumat awam, serta meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 supaya kedua-dua akta saling melengkapi.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) pula diwujudkan bagi melindungi individu yang mendedahkan salah laku, penyelewengan atau rasuah dalam sektor awam dan swasta.
Akta ini memberi jaminan perlindungan terhadap identiti pemberi maklumat, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah, serta perlindungan pekerjaan.
Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, reformasi institusi ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang menyeluruh dan beriltizam dalam membina institusi yang kukuh, adil dan telus demi memberi khidmat kepada semua rakyat Malaysia dengan penuh integriti.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat dan pemimpin perniagaan yang telah menyahut Ikrar Integriti Korporat serta mengambil langkah konkrit untuk menerapkan etika serta ketelusan dalam operasi mereka.
“Kerajaan menggesa semua perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mengamalkan tadbir urus yang kukuh dan bekerjasama dengan kerajaan dalam membina budaya integriti nasional yang menjadi pemacu pertumbuhan mampan dan inklusif.
“Perjuangan membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan keberanian, integriti dan penyertaan aktif daripada setiap lapisan masyarakat. Marilah kita bersatu mempertahankan ketelusan, keadilan dan kejujuran,” katanya. – KOSMO! ONLINE