Ajai mohon maaf, kami terima dengan hati terbuka – AC Mizal

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Tidak menyimpan dendam, penyanyi Datuk AC Mizal mengakui kenyataan Ajai membabitkan isu lagu kumpulan 4U2C sudah diselesaikan secara baik selepas komposer dan penyanyi itu meminta maaf.

AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 53, berkata, tindakan menegur rakannya itu adalah bagi mengelakkan orang ramai tersalah tafsir terhadap isu hak cipta lagu yang mencetuskan perdebatan terhadap penganjuran konsert We 4U2C Live In Concert.

“Apabila Ajai mohon maaf, kami terima dengan hati terbuka serta menghargai usahanya. Lagipun dulu 4U2C dan Ajai di bawah satu syarikat.

“Saya sendiri baik dengan Ajai, manakala dua lagu daripada konsert ini nanti adalah daripadanya iaitu Kembalilah Fiona dan Dusta.

“Permohonan maaf itu juga bukan untuk saya, tapi kepada 4U2C bagi membolehkan orang luar faham isu sebenar hak cipta lagu yang diperkatakan,” katanya pada majlis doa selamat di Masjid Bukit Indah, Ampang, semalam.

Menurut ketua kumpulan 4U2C itu, majlis berkenaan diadakan bersempena penganjuran We 4U2C Live In Concert yang dijadualkan di Idea Live Arena Petaling Jaya pada 15 September depan.

Pada masa sama, AC Mizal mengakui masih belum berkesempatan bertemu Ajai berikutan kesibukan dengan persediaan konsert masing-masing.

“Hal yang saya suarakan bukan isu peribadi. Saya bercakap mewakili 4U2C dan sekadar nak memperbetulkan keadaan serta kenyataan. ‘No hard feelings’.

” Alhamdulillah, harapnya tiada lagi fitnah. Dari sudut lain, hal yang tercetus ini ada bagusnya untuk satu Malaysia tahu situasi sebenar industri seni,” katanya.

Sebelum ini AC Mizal meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Ajai yang mendakwa konsert 4U2C tidak boleh dianjurkan tanpa kebenaran pemilik lagu.

Susulan itu, beliau menerusi peguamnya menuntut Ajai memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang.

Kontroversi tercetus apabila penerbit Man Senoi dan isteri, Mama Rap, mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert We 4U2C Live In Concert, sedangkan mereka merupakan pemegang hak cipta lagu kumpulan terbabit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |