AEON Mall Seremban kedua terbesar di Malaysia

5 hours ago 3

SEREMBAN – Bandaraya Seremban menjadi pilihan AEON Co. (M) Bhd. untuk membangunkan pusat beli belah kedua terbesar di Malaysia milik syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka itu.

Pengarah Urusannya, Naoya Okada berkata, premis sedia ada yang didirikan sejak 20 tahun lalu kini tidak lagi mampu menampung kepesatan pembangunan di bandaraya ini.

Beliau berkata, jumlah penduduk telah meningkat dengan ketara dalam tempoh 20 tahun dan menjadikan ruang sedia ada begitu terhad untuk aktiviti melibatkan orang ramai.

“Kami juga menerima permintaan daripada vendor baharu yang beratur menunggu peluang untuk masuk menjalankan perniagaan di Aeon Mall Seremban 2.

“Jadi ini adalah masa yang tepat untuk membuat pembesaran dan kami yakin ia akan mendapat sambutan baik daripada orang ramai mahupun para peniaga,” katanya kepada Kosmo! selepas majlis pecah tanah pembesaran Aeon Mall Seremban 2 di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Turut hadir Pengerusi AEON Co, Datuk Iskandar Sarudin.

Okada memberitahu, bangunan setinggi empat tingkat termasuk dua tingkat untuk tempat letak kereta itu akan dibina di atas tapak seluas sembilan hektar yang terletak bertentangan dengan pusat beli-belah sedia ada.

Jelasnya, kedua-dua bangunan itu akan dihubungkan melalui jambatan pejalan kaki bagi memastikan akses yang mudah dan selesa buat para pengunjung.

Menurutnya, dengan jumlah keluasan boleh sewa (NLA) lebih 65,000 meter persegi, pusat beli-belah AEON Seremban 2 akan menjadi pusat beli-belah yang terbesar di Seremban dan kedua terbesar di Malaysia.

“Projek ini dijangka siap pada 2027,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak tujuh pusat membeli belah Aeon di negara ini telah dinaik taraf manakala empat kompleks lagi akan dinaik taraf tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |