BARU-BARU ini, tular isu berkaitan makanan kucing yang mengandungi unsur babi sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana terdapat label makanan kucing yang jelas menyatakan kandungan pork atau pork derivatives, manakala sebahagian lagi menggunakan istilah mengelirukan seperti meat derivatives. Persoalannya, adakah makanan haiwan perlu mendapat logo halal dan dipastikan kesuciannya?
JAWAPAN: AGAMA Islam menetapkan bahawa neraca haiwan adalah berbeza dengan neraca manusia yang mukallaf. Setiap manusia dituntut untuk mencari makanan yang memenuhi dua kriteria utama iaitu makanan halal dan makanan baik (halalan tayyiban).
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, 16)
Sementara itu, ayat ini menunjukkan bahawa makanan halal itu mestilah yang bersifat suci kerana berpandukan kepada ungkapan halalan yang disusuli perkataan tayyiban.
Isu haiwan peliharaan memakan makanan yang mengandungi najis (mughallazah) memberikan kesan hukum pada mukallaf khususnya apabila berlaku penyebaran najis melalui sentuhan secara langsung atau jilatan air liurnya pada tubuh manusia, perkakas dapur serta tempat ibadah.
Para ulama telah membahaskan tentang hukum sisa jilatan kucing berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik bahawa beliau berkata: “Abu Qatadah menemuinya Kabsyah lalu berkata: Aku menuangkan air ke dalam bekas untuk dia berwuduk. Kemudian, seekor kucing datang minum daripada air tersebut.
Abu Qatadah memiringkan bekas supaya kucing tersebut dapat minum.
Kabsyah berkata: Abu Qatadah mengetahui bahawa aku sedang memperhatikannya, lalu dia berkata: Adakah engkau terkejut wahai anak saudaraku? Aku menjawab: Ya. Abu Qatadah berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Kucing itu bukan najis kerana ia merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekelilingmu.” (Riwayat al-Nasa’i)
Syeikh Zainuddin al-Ma’bariy ada menjelaskan berkenaan keadaan haiwan selain daripada anjing dan khinzir yang meminum air dalam keadaan mulutnya bernajis: “Sisa minuman daripada setiap haiwan yang suci adalah suci.
Jika mulutnya bernajis kemudian dia menjilat air yang sedikit atau cairan, (maka hukumnya diperincikan); jika sesudah itu ia tidak kelihatan (berkeliaran) dan ada kemungkinan mulutnya menjadi suci dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir, maka air tersebut tidak menjadi najis walaupun haiwan itu adalah kucing.
Namun, jika tidak sedemikian (belum sempat suci), maka jilatan air liurnya menjadi najis.”
Air liur jilatan kucing menjadi najis dan boleh tersebar kerana ia dalam keadaan basah. Seterusnya, terdapat satu kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti bahawa:
“Najis yang bersentuhan dengan sesuatu yang suci dan dalam keadaan kedua-duanya kering, maka ia tidak menyebabkan sesuatu yang suci itu menjadi najis.”
Berdasarkan kaedah ini, dapat difahami bahawa kewajipan melakukan sertu hanya apabila seseorang itu menyentuh sesuatu yang bernajis seperti khinzir dalam keadaan salah satu (yang menyentuh atau yang disentuh) atau kedua-duanya basah sahaja.
Kesimpulannya, pemilik haiwan peliharaan beragama Islam hendaklah bersikap cakna dalam memilih produk makanan haiwan yang bebas daripada unsur najis dan haram bagi memastikan kebersihan tempat ibadah terjaga serta tidak berlaku penyebaran najis melalui sentuhan atau jilatan air liur haiwan yang mungkin terkena pada manusia.

3 weeks ago
16


















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)






























