DUNIA hiburan tempatan sering dihiasi dengan kehadiran selebriti popular yang menambat hati peminat menerusi lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan.
Namun, apa yang lebih menarik adakalanya bukan seorang saja dari keluarga itu dikenali ramai bahkan seluruh adik-beradik turut mencuri tumpuan baik kerana bakat semula jadi, hubungan rapat sesama mereka, atau kontroversi tanpa berkesudahan.
Fenomena adik-beradik artis bukanlah sesuatu yang asing dalam industri seni tanah air, malah ada antaranya yang mencipta legasi tersendiri, manakala terdapat juga yang meraih tumpuan dek kisah peribadi sarat warna-warni.
Berikut, HibGlam senaraikan adik-beradik artis Malaysia yang paling sensasi dan tidak pernah gagal menjadi sorotan peminat serta media.
Elfira Loy, Ezlisa Loy
SUDAH tidak menyerlah dengan naskhah televisyen mahupun layar perak, nama pelakon Elfira Loy bagaimanapun tetap dipedulikan khalayak, khususnya dalam media sosial. Namanya terpalit gara-gara gaun adiknya kahwin adiknya Ezlisa Loy dikatakan meniru pempengaruh Ally
Mukhriz yang merupakan cucu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Menyedari Ezlisa jadi umpatan netizen, Elfira dilihat meninggalkan komen pada hantaran tersebut mempertahankan adik kesayangannya.
Ayda Jebat, Fyna Jebat
PADA Januari 2023, adik kepada Ayda Jebat iaitu Fyna Jebat mengakui menjadi isteri kedua kepada bekas pemain bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan. Tidak cukup dengan itu, Fyna terpalit dengan kontroversi selepas didakwa terlibat dalam pergaduhan bersama madunya isteri pertama bekas jurulatih Penang FC dan Melaka United, Datin Zalina Zaini.
Orang yang menjadi galang ganti bertemu muka bahkan bertindak persis pengurus peribadi kepada Fyna adalah kakaknya Ayda Jebat.
Sedari awal program Famili Duo sehinggalah final dan seterusnya berita perceraian bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) mula bertebaran, Ayda menjadi sasaran media menjawab onar adiknya.
Shila Amzah, Syada Amzah
TAHUN 2023 menjadi detik ngeri buat penyanyi Shila Amzah impak kontroversi bersama ahli keluarganya.
Krisis dalaman keluarga Shila bermula selepas adiknya Syada Amzah membuat luahan mencari rumah sewa dan mendakwa bakal dihalau keluar dari kediaman ibu mereka.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah tampil mempertahankan diri dan menjelaskan tindakan tersebut dilakukan dengan persetujuan ibu dan berhak membuat keputusan memandangkan rumah terbabit adalah miliknya.
Tidak hanya isu rumah, pendedahan demi pendedahan merungkaikan masalah Shila dengan adik-beradiknya termasuk menanggung keluarga sejak muda, selain pernah dikasari abang sendiri, campur tangan ibu mereka Fauziah Sarman menghangatkan lagi konflik.
Impak salah faham, Shila dan Syada dikatakan tidak mengikuti Instagram masing-masing. Setahun kemudian barulah mereka berdamai.
Syamsul Yusof, Syafiq Yusof
TIDAK dinafikan kerja pengarahan dua bersaudara, Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof yang juga anak sutradara Datuk Yusof Haslam diperakui ramai. Meskipun naskhah arahan sentiasa diperkatakan dan dipuji penonton, dari segi peribadi Syafiq sangat menjaga privasi terutama hal keluarganya.
Berbeza pula dengan abangnya Syamsul yang kerap menjadi topik utama netizen lebih-lebih lagi apabila kedua-dua rumah tangganya, pertama bersama Puteri Sarah dan kedua bersama Ira Kazar bertemu kehancuran.
Neelofa, Ameera Khan
TIDAK perlu perkenalkan lagi ahli keluarga kepada selebriti versatil Neelofa yang sememangnya sangat dikenali umum.
Setiap tindakan mahupun soal pemakaian, terkait sahaja sebagai ahli keluarga Noor Neelofa Mohd. Noor, semuanya pasti akan menjadi kupasan media ataupun perdebatan netizen dalam media sosial.
Paling kerap menjadi tumpuan semestinya, Ameera Khan atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan (LMK). Meskipun Neelofa sangat menjaga cara pemakaian, Ameera pula menonjolkan penampilan berani dan seksi sehingga mencetuskan perdebatan mengenai aurat, maruah dan imej wanita Islam. Kemesraan Ameera dengan kekasihnya iaitu Jefri Nichol yang juga aktor Indonesia juga memberi tempias tidak baik buat Neelofa.