23 individu ditahan merusuh kes tak puas hati disaman

6 hours ago 5

MELAKA – Sekumpulan individu ditahan kerana bertindak merusuh dan menghalang tugas anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di kawasan “Car Free Zone” berhampiran Banda Hilir di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila penguat kuasa MBMB mengeluarkan saman ke atas sebuah kumpulan penunggang motosikal di sekitar bulatan Kancil, berhampiran bangunan merah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila seorang suspek daripada kumpulan motosikal terbabit bertindak mengoyakkan saman yang diterima dan memaki hamun penguat kuasa terbabit.

“Insiden itu menimbulkan ketegangan apabila satu lagi kumpulan yang berada di lokasi dan tidak berpuas hati dengan tindakan kasar kumpulan pertama tampil membantu pihak MBMB hingga tercetus pergaduhan antara dua kumpulan.

“Dalam kekecohan itu, seorang lelaki daripada kumpulan kedua telah dipukul menggunakan topi keledar dan mangga (padlock) oleh salah seorang suspek dan
mangsa mengalami kecederaan dan telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Susulan itu, sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah telah menahan seramai 23 individu disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Mereka terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan wanita dan majoriti suspek dari Kuala Lumpur dan sebahagian kecil dari Melaka, manakala kumpulan kedua yang membantu penguat kuasa pula berasal dari Melaka.

“Seorang suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai memukul mangsa dengan helmet kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |