20 budak diselamatkan di gudang, pusat tidak berdaftar

8 hours ago 3

GEORGE TOWN – Seramai 20 kanak-kanak termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari diselamatkan dalam satu operasi khas di sebuah gudang dan rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar di sekitar Bukit Mertajam, minggu lalu.

Operasi tersebut dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan aduan orang awam dan pemantauan pihak JKM terhadap kegiatan mencurigakan melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang dilihat kerap keluar masuk di sebuah premis menyerupai gudang.

Turut diselamatkan dalam operasi itu ialah seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai ibu kandung kepada bayi perempuan berkenaan.

Kesemua mereka dipercayai terdiri daripada pelbagai warga negara serta bertutur dalam bahasa Mandarin dan kurang fasih berbahasa Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, operasi yang dijalankan pada 21 Julai itu mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selamat.

“Kesemua mereka yang diselamatkan berumur antara 15 hari hingga 16 tahun, terdiri daripada 10 lelaki dan 10 perempuan.

“Berdasarkan siasatan awal, 12 orang kanak-kanak termasuk bayi tiada sijil kelahiran, enam mempunyai dokumen sah namun tiada ibu bapa atau penjaga dan dua telah diserahkan kepada penjaga keluarga terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati sebahagian kanak-kanak terbabit tidak mempunyai penjaga sah.

“Keadaan di gudang ini sangat tidak bersih dan langsung tidak sesuai untuk didiami apatah lagi oleh kanak-kanak. Tempat itu bukan rumah jagaan dan bukan pusat pendidikan. Kanak-kanak tidak patut berada di situ,” katanya.

Tambahnya, ketika serbuan, lima orang dewasa yang disyaki bertindak sebagai penjaga turut berada di lokasi dan mereka adalah individu tempatan berusia lebih daripada 18 tahun dan mereka kini sedang disiasat lanjut oleh pihak polis.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menerima beberapa aduan awam sejak hujung tahun lalu, namun ketika lawatan dan pemeriksaan awal dilakukan, tiada kanak-kanak ditemui di alamat yang diberikan namun aduan itu akhirnya dapat disahkan menerusi pemantauan berterusan.

“Kesemua kanak-kanak kini ditempatkan di institusi yang diwartakan sebagai ‘Tempat Selamat’ serta menerima Perintah Jagaan Sementara daripada Mahkamah Bukit Mertajam. Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan di Hospital Seberang Jaya dengan penglibatan pegawai psikologi JKM,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |