2 syarikat Bumiputera bakal disenaraikan di Bursa tahun ini – Ahmad Zahid

6 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya dua syarikat Bumiputera berprestasi tinggi disasar berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang akhir tahun ini menerusi Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancement (BRAVE).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program tersebut merupakan antara usaha kerajaan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera agar mampu menembusi pasaran lebih besar termasuk pasaran modal.

“Yes, this year. We must aim high (Ya, tahun ini. Kita mesti menetapkan sasaran yang tinggi).

“Ini bukan retorik. Ini mesti dilengkapi dengan disiplin dan kesungguhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick sempena Sesi Aspirasi PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi dan Majlis Peluncuran Program BRAVE hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kuskop, Datuk Seri R. Ramanan.

Menurut Ahmad Zahid, program BRAVE menyediakan pembiayaan alternatif sehingga RM1 juta kepada syarikat terpilih dengan kadar keuntungan serendah 3.5 peratus.

“Sebanyak 15 syarikat akan dipilih untuk fasa awal dan lima daripadanya akan diberi bimbingan intensif untuk bersedia memasuki pasaran Bursa menjelang akhir 2025,” ujarnya.

Beliau menambah, BRAVE 2030 digerakkan sebagai satu gerakan nasional untuk melahirkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 syarikat Bumiputera tersenarai di Bursa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam masa sama, beliau menggariskan tiga hala tuju utama BRAVE iaitu membina pemikiran usahawan yang berani, mewujudkan platform penyatuan ekosistem industri serta memperkenalkan pelan laluan tersenarai atau ‘Blueprint to Bursa’ secara sistematik.

Katanya, PMKS menyumbang lebih RM631.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023 dan membuka lebih tujuh juta peluang pekerjaan, namun terus berdepan kekangan seperti akses terhad kepada modal dan daya saing rendah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |