19 peserta Garah ditahan, 2 individu disiasat bawah Akta Hasutan

19 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Seramai 19 individu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) ditahan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima pemakluman himpunan daripada penganjur terdiri daripada pendakwah bebas dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setelah pertimbangan dan risikan
keselamatan, pihak polis tidak membenarkan penganjuran perhimpunan ini diadakan.

“Sebanyak 131 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Fadil berkata, bagaimanapun, sekitar pukul 8 malam semalam, polis telah terkesan kira-kira 100 peserta berhimpun di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo dipercayai mendesak tindakan diambil ke atas kuil atau rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Sehubungan itu, katanya, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas 19 individu terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 tahun hingga 64 tahun.

“Dua individu disiasat di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Kita akan kemukakan permohonan reman bagi dua individu ini hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, 17 individu yang lain disiasat mengikut Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Tambah Fadil, tindakan yang diambil terhadap penganjur dan peserta himpunan itu juga mempertimbangkan kehadiran tetamu negara semalam iaitu Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam lawatan rasmi ke Malaysia.

“Kita tidak mahu dalam keadaan kerajaan Malaysia menerima tetamu negara, pada waktu yang sama keadaan begini berlaku di negara kita. Ini di antara perkara yang kita pertimbangkan dalam kita mengambil tindakan.

“Apa yang saya nak tekankan di sini, menjaga ketenteraman dan keselamatan awam negara kita, kesejahteraannya adalah tanggungjawab semua pihak.

Fadil menegaskan, sebarang cubaan mengeksploitasi isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), akan disiasat dan diambil tindakan ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau.

Semalam, Kosmo! melaporkan beberapa individu termasuk Zamri Vinoth yang dipercayai menyertai himpunan Garah ditahan polis di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo di sini, semalam.

Pada masa sama, Fadil juga mengesahkan pihak polis menahan tiga individu di Daerah Klang Utara berhubung isu sama di bawah Akta Hasutan 1948.

Katanya, tangkapan tiga individu tersebut adalah pihak yang bertentangan dengan penganjuran himpunan Garah.

“Tangkapan ini bersabit dengan Akta Hasutan melalui paparan di media sosial yang kita percaya akan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Kesemua suspek direman selama sehari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |