PETALING JAYA – Laporan pencapaian 100 hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaparkan pelbagai inisiatif berteraskan dakwah, pembangunan komuniti dan kebajikan rakyat.
Menerusi hantaran di laman Instagram oleh Dr Zulkifli Hasan, beberapa program utama telah dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.
Antara pencapaian utama ialah kadar kehadiran sebanyak 96 peratus ke sesi Parlimen dan Dewan Negara, selain pelaksanaan inisiatif ‘Daie Madani’ bagi memperkukuh gerakan dakwah dalam kalangan anak muda.
“Sebagai gelombang baharu dakwah anak muda, platform jaringan nasional asatizah muda dalam memperkukuhkan gerakan dakwah,” menurut perkongsian tersebut.
Program Rakan (Program Raih Keberkatan Ramadan) turut diperkenalkan sebagai platform pengisian ilmu dan tazkirah yang menyentuh aspek kepimpinan serta kenegaraan di Surau Parlimen.
Selain itu, inisiatif Rakan Masjid dan Rakan Muda Ramadan diwujudkan bagi menghubungkan institusi masjid dengan golongan belia melalui pendekatan lebih segar dan inklusif.
Dalam aspek dasar, cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia sedang dimuktamadkan di peringkat Persekutuan tanpa menjejaskan autonomi negeri.
“Cadangan mengkaji penggubalan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memastikan skim saraan setara dengan hakim Mahkamah Sivil sekali gus memperkukuh kewibawaan institusi kehakiman syariah,” katanya.
Inisiatif Barakah Pit Stop juga diperkenalkan sebagai ruang rehat percuma kepada penunggang motosikal dan perkhidmatan p-hailing di Masjid Wilayah Persekutuan.
“Penyediaan ruang rehat percuma buat penunggang motosikal dan p-hailing sebagai usaha kebajikan kepada komuniti,” jelasnya.
Sepanjang tempoh sama, lebih 90,000 peserta terlibat dalam sesi mesyuarat dan libat urus Komuniti Madani yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, Orang Asli dan golongan OKU. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5
![[VIDEO] Suami beli baju ‘ala hospital’ demi sedondon dengan isteri di hospital](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-28-at-4.51.14-PM.jpeg)














































