KUALA LUMPUR – Pemain Selangor, Wong Wei Shen berjaya menunaikan impian apabila meraih gelaran dalam acara perseorangan lelaki bawah 15 tahun (B-15) pada Grand Final Kejohanan Badminton Remaja Allianz 2025.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Setiawangsa di sini, hari ini, pemain berusia 14 tahun itu mencatat kemenangan 16-21, 21-17, 21-16 ke atas wakil Kedah, K. Joshua dalam tempoh 30 minit.
Bagi Wei Shen, kemenangan itu cukup bermakna bagi dirinya kerana buat pertama kali berjaya menjadi juara dalam saingan Grand Final selepas menyertai kejohanan tersebut sebanyak dua kali.
“Ini adalah penyertaan kedua saya dalam Grand Final tetapi yang pertama, saya tidak dapat sebarang gelaran. Jadi, ini merupakan gelaran pertama saya selepas dua kali beraksi di Grand Final.
“Sudah tentu saya berharap untuk menempatkan diri dalam skuad remaja kebangsaan bagi meneruskan karier. Memang itu merupakan salah satu impian, untuk menyertai pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pada masa sama, Wei Shen juga mahu bekerja lebih keras bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada dalam usaha mengikut jejak langkah idolanya yang merupakan juara dunia dari China, Shi Yuqi.
“Saya masih muda dan perlu bekerja lebih kuat selepas ini. Saya mahu menjadi seperti Shi Yuqi kerana dia memiliki corak permainan yang sangat baik selain memiliki banyak helah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang mengakui bangga dengan aksi dipamerkan kesemua pemain dan menyifatkan mereka merupakan masa depan badminton negara.
“Saya gembira dan bangga menyaksikan pemain-pemain muda memberikan segala-galanya pada perlawanan hari ini. Mereka adalah masa depan negara dan saya tidak sabar untuk melihat pencapaian mereka nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1
















![[VIDEO] Migran hanyut diselamatkan kapal dagang, kapal layar dan bot nelayan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/migran-bot-karam.jpeg)
































