MELAKA – Suasana pilu menyelubungi lokasi nahas membabitkan tiga sekeluarga di Jalan Kandang – Ayer Molek apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang mengerang kesakitan memanggil-manggil ibunya, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, mangsa, Nurul Anisha Durahman, 24, terlebih dahulu telah disahkan maut di tempat kejadian selepas motosikal jenis Y15 ZR ditunggangnya dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Corolla Cross.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, anaknya, Muhammad Aqil Auni Mohd. Yusnaidi, mengalami pendarahan di kepala, manakala adik arwah, Nurul Farah Natasha Duralman, 21, yang turut membonceng mengalami patah kaki.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Kandang mengahala ke arah Duyong.
“Sampai di Jalan Kandang – Ayer Molek berhadapan kedai makan Irfan Tomyam, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Corolla Cross dipandu lelaki berusia 36 tahun telah memasuki laluan mangsa dan berlaku perlanggaran.
“Akibat kemalangan itu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi pemboceng termasuk seorang kanak-kanak parah dan dikejarkan ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemandu SUV tersebut telahpun ditahan dan sampel darah diambil bagi ujian toksikologi.
“Saringan ujian air kencing terhadap pemandu adalah negatif, namun dia telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Tiada rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kemalangan atau rakaman papan pemuka dari kenderaan awam, jadi kita minta saksi bebas di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE

6 days ago
32















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)

































