KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 30 jurugambar jalanan dikenakan tindakan kerana menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran pihak berkuasa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Wartawan Kosmo! yang menyertai operasi di bawah KL Strike Force itu mendapati operasi berjalan meskipun berlaku sedikit kekecohan apabila terdapat seorang individu enggan memberi kerjasama.
Rata-rata jurugambar di lokasi tersebut adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an.
Seorang jurugambar dikenali sebagai Haikal, 20, dari Kelantan berkata, dia menjalankan perkhidmatan tersebut untuk menjana pendapatan tambahan.
“Waktu siang saya bekerja di kedai aksesori berhampiran (KLCC), tamat kerja baru datang sini. Biasanya satu malam boleh dapat RM200 hingga RM400.
“Ini kali pertama kami disaman, sebab seorang buat hal habis semua kena,” katanya.
Difahamkan, mereka dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila seorang pelancong asing mendakwa dia dikenakan bayaran RM860 selepas menggunakan khidmat jurugambar jalanandi KLCC.
Golongan itu turut mencetuskan kontroversi sekali lagi apabila didakwa bertelingkah dengan pelancong di lokasi terbabit.
Mengulas mengenai kejadian itu, Haikal berkata, dia hanya mendengar mengenai perkara itu daripada rakan-rakan selain melihat video tular di media sosial.
“Saya tak pernah kenakan caj tinggi dan melampau atau memaksa pelanggan menggunakan khidmat kami. Yang saya dengar daripada kawan-kawan, perkara itu terjadi akibat salah faham,” ujarnya.
Operasi bermula kira-kira pukul 9 malam itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff. – KOSMO! ONLINE
@syahzwanan Ulat camera klcc 📸#klcc #cameranman #wargaasing ♬ original sound – Mizan – MEEZAN DESIGN