PETALING JAYA – Tindakan kurang bijak seorang individu yang mengisi minyak diesel ke dalam kereta pacuan empat rodanya sehingga melimpah-ruah menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik @faizalothman44 di TikTok, difahamkan lelaki tersebut tersalah mengisi minyak petron ke dalam keretanya.
Disebabkan lelaki itu mahu mengeluarkan kembali minyak petrol tersebut bagi mengelakkan kerosakan, dia bertindak mengisi minyak diesel sehingga melimpah ruah ke atas jalan.
Tindakan itu sekali gus mengundang bahaya kepada orang sekeliling kerana berpotensi berlakunya kebakaran.
“Minyak diesel diisi penuh melimpah untuk cuci tangki yang terisi petrol untuk untuk elak dari enjin rosak dan keluar modal tinggi.
“Tetapi membahayakan kawasan tu dan kemana saja minyak diesel mengalir jika ada orang tidak tahu buang rokok, habis terbakar semua yang ada,” tulis pengguna tersebut di ruangan kapsyen.
Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 1.1 juta tontonan, 21,100 tanda suka dan 3,996 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai mengecam tindakan lelaki tersebut yang dianggap tidak mempedulikan orang sekeliling.
“Tak hilang juga petrol tu. Duit habis bayar minyak. Kerja sia-sia dan bahayakan orang lain,” komen Fitri.
“Beli kereta mahal boleh, panggil orang bengkel tak boleh. Panggil orang bengkel, selesai masalah daripada kau buat benda sia-sia macam tu,” komen Helmi.
“Nak tanya lepas dah buat macam tu cuci balik tak stesen pam ni? Ni bukannya rumah kau nak tumpah-tumpah minyak macam tu,” komen Aaron pula. – KOSMO! ONLINE
@faizalothman44 Minyak diesel di isi penuh melimpah untuk cuci tangki yg terisi petrol untuk elak dri enjin rosak dan keluar modal tinggi.. tetapi membahayakan kawasan tu dan kemana saja minyak diesel mengalir jika ada orang tak tau buang rokok.. habis terbakar semua yg ada.. #pdrn #ambiltindakankerasss ♬ original sound – FAIZALOTHMAN®️🇲🇾